Kamis, 01 Mei 2008

ILMU PENGENTAHUAN II

Ilmu Pengetahuan Pemangkin Masyarakat Penyumbang
Marilah kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar-benar ketaqwaan. Kerana sesungguhnya, yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah yang paling bertaqwa.



Saudaraku yang dirahmati Allah,
Kehidupan kita pada hari ini di duga dengan pelbagai cabaran. Cabaran kekeluargaan, kewangan, pekerjaan, pelajaran, keagamaan, dan kehidupan sosial secara umumnya.

Dalam realiti kehidupan, tidak kira di mana kita berada; kita akan diuji dengan berbagai ujian dan cubaan Allah. Allah s.w.t. akan menguji setiap manusia di kalangan hamba-hambaNya; samaada mereka itu dikalangan para nabi mahupun manusia biasa seperti kita.

Dalam hal ini, Allah Ta’ala telah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 155 yang berbunyi:
Maksudnya: “Dan sungguh akan Kami (yakni Allah swt) berikan cobaan kepada kamu, dengan sedikit rasa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa serta hasil tanaman. Dan sebarkanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Saudaraku,
Para nabi dan rasul merupakan orang-orang yang terdekat dan yang paling disayangi Allah swt. Namun, mereka semuanya diuji dengan banyak cabaran-cabaran yang hebat. Tetapi kerana mereka bersabar, berdaya tahan dan tetap memberikan sumbangan yang bermanfaat, mereka meraih kedudukan yang mulia di sisi Allah swt.

Mari kita lihat contoh seorang Nabi yang mana kehidupannya diuji sejak muda lagi, tetapi pada akhirnya, dia menjadi seorang yang dimuliakan. Beliau adalah Nabi Yusuf a.s.

Daripada sejak muda lagi, beliau diuji dengan perasaan hasad dan dengki oleh adik-beradiknya, yang cemburu akan hubungan rapatnya bersama ayah mereka, Nabi Ya’qub a.s. Dan atas sebab ini, mereka cuba untuk menghapuskannya, dan akhirnya bersetuju untuk melontarkan Nabi Yusuf ke dalam sebuah perigi. Nabi Yusuf kemudian dijumpai oleh beberapa musafir, yang setelah itu menjualnya di pasar sebagai seorang hamba.

Ujian seterusnya, datang daripada isteri tuannya, yang cuba untuk menggodanya. Nabi Yusuf a.s. merupakan seorang yang dikurniakan Allah kecantikan rupa pada raut wajahnya. Namun, walaupun digoda, beliau enggan untuk mengizinkan nafsu mengatasinya. Selepas itu, beliau terus diuji, dan dimasukkan ke dalam penjara. Setelah lama dipenjarakan, Allah swt memberikannya kebebasan dan martabat yang tinggi dan mulia disisi raja Mesir pada ketika itu, dengan kelebihan yang diberikan Allah kepadanya, iaitu ilmu untuk menafsirkan mimpi. Dengan ilmunya itu, Nabi Yusuf telah dapat memberi sumbangan dengan menyelamatkan rakyat Mesir dari kemarau yang panjang. Walaupun Nabi Yusuf telah dizalimi, dia tetap membantu raja Mesir dan rakyatnya. Dengan itu Nabi Yusuf meraih kepercayaan raja dan orang ramai pada ketika itu.

Begitulah adat dan lumrah kehidupan kita di dunia, ujian dan cabaran akan dilalui. Dan hanya orang-orang yang kukuh prinsip, berdaya tahan, berilmu dan mampu memberi sumbangan sahaja yang akan meraih keuntungan dan kejayaan.

Dari itu saudaraku,
Amat penting dalam kita menyahut cabaran kehidupan masa kini, kita perlu memberikan sumbangan yang bererti dan berkesan. Semoga dengan sumbangan yang bermanfaat dapat merubah keadaan kehidupan kita.

Pada minggu lalu, Mimbar telah menyebutkan satu perkara penting untuk kita memberikan sumbangan yang lebih berkesan iaitu dengan ilmu pengetahuan yang mendalam.

Maka pada hari ini, kita akan lihat pula sikap kita dalam memberikan sumbangan. Moga-moga dengan sikap yang betul dapat kita memberikan sumbangan yang lebih bermakna.

Sikap pertama: kita hendaklah mempunyai sikap ingin mendatangkan kebaikan atau ‘Islah’. Lihat sahaja sikap Nabi Syuaib dalam menghadapi kaumnya. Dengan penuh kesabaran dan keinginan untuk membawa kebaikan pada kaumnya Baginda memberikan sumbangannya. Sepertimana Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: “Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadanya, (Patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. kepada Allah jualah Aku berserah diri dan kepadaNyalah Aku kembali.”
(Surah Hud ayat 88)

Dengan sikap ingin membawa kebaikan kita akan sentiasa berfikir untuk membantu dalam merubah keadaan kehidupan pada yang lebih baik.

Sebagai contoh, dalam memberikan pendidikan anak-anak muda kita tentang Islam yang sebenar, sebahagian dari individu dalam masyarakat kita telah berusaha untuk mendalami ilmu tentang penganasan. Berbekalkan dengan ilmu yang mendalam serta keinginan untuk membawa kebaikan yang datang dari hati, banyak bahan-bahan telah disiapkan sama ada dari bahan cetak serta melalui lelaman web telah disediakan demi untuk membantu anak-anak muda kita memahami ajaran Islam yang sebenar yang dibawa oleh Baginda Rasulullah s.a.w. yang jauh dari sifat keganasan.

Sikap kedua: Ia tidak cukup dengan hanya ada keinginan untuk memperbaiki keadaan. Kita perlu bergerak dan berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan. Sepertimana Firman Allah s.w.t.”
Maksudnya: “...oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); Sesungguhnya Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah Al-Baqarah ayat 148)

Kerana hanya dengan kita bergerak dan berlumba-lumba dalam kebaikan akan berlakunya perubahan dan kebaikan yang diinginkan. Sepertimana sabda Baginda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: “Barangsiapa yang lihat akan keburukan maka hendaklah merubahnya (pada kebaikan) dengan tangannya (kuasanya) jika tidak berkemampuan maka dengan lidahnya (kata-kata nasihat) jika tidak mampu maka dengan hatinya dan itu adalah selemah-lemah iman”

Akhir sekali: Sumbangan yang bermakna adalah sumbangan yang dapat dirasai oleh setiap anggota masyarakat. Lebih ramai yang dapat merasakan manfaat sumbangan kita, lebih banyak lagi ganjaran kita disisi Allah s.w.t. Maka itulah Baginda Rasulullah s.a.w. adalah rahmat buat seluruh alam kerana kebaikan dan manfaat yang dibawa sememangnya untuk alam sejagat.

Saudaraku,
Walaupun kehidupan masakini penuh dengan dugaan dan cabaran, sebenarnya inilah masanya untuk kita membuktikan manfaat yang dibawa oleh masyarakat Islam. Dengan identiti Muslim yang membawa kesejahteraan dan kebaikan, kita perlu berusaha memberikan sumbangan yang berkesan dan bermakna dalam apa sahaja bidang dan lapangan yang kita ceburi.
Semoga dengan ilmu yang mendalam, serta sikap yang positif dalam menghulurkan bantuan dan sumbangan akan merubah kehidupan kita, serta menonjolkan masyarakat Islam sebagai masyarakat penyumbang pada kebaikan dan kemakmuran.


Read More...

ILMU PENGENTAHUAN

Ilmu Pengetahuan Pemangkin Masyarakat Penyumbang

Marilah kita bertaqwa kepada Allah swt dengan sebenar-benar ketaqwaan. Kerana sesungguhnya, yang paling mulia diantara kamu disisi Allah adalah yang paling bertaqwa.


Saudaraku yang dirahmati Allah,
Islam menuntut kita untuk menimba ilmu. Ini terang dan nyata daripada wahyu pertama yang diturunkan kepada Baginda s.a.w. Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: “bacalah (Wahai Rasulullah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),”
(Surah Al-‘Alaq ayat 1)

Perintah untuk membaca merupakan sebuah petunjuk dan hikmah untuk kita rajin menimba ilmu pengetahuan. Selain daripada itu, terdapat banyak lagi hadith-hadith dan ayat al-Quran yang mengajak kita untuk memperkayakan diri dengan ilmu. Seperti sabda Rasulullah s.a.w.,

Maksudnya: “menuntut ilmu itu adalah fardhu ke atas setiap individu Muslim”
(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Mengapakah Islam menggalakkan umatnya agar berilmu? Kerana orang-orang yang berilmu adalah golongan mulia di dunia dan mereka akan diangkatkan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah s.w.t. Seperti firman Allah s.w.t:

Maksudnya: ”Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”
(Surah Al-Mujadalah ayat 11)

Itulah perbezaannya. Orang yang berilmu, akan diberikan kemuliaan dan kehormatan di dunia hingga ke akhirat. Dengan itu, ilmu yang dipelajari dengan ikhlas, dan daripada sumber yang betul, akan bermanfaat buat selama-lamanya.

Lihat sahaja kehidupan Baginda Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan kebaikan serta membawa kesejahteraan. Maka Baginda dapat melaksanakan kebaikan dengan berbekalkan ilmu yang didapati langsung dari Allah s.w.t. Maka segala kebaikan ini berpunca dari keterangan hati dengan cahaya hikmah dan kebijaksanaan yang hanya dianugerahkan kepada yang berusaha mencarinya dan mendalaminya.

Sepertimana diriwayatkan, nasihat Luqman al-Hakim pada anaknya: Wahai anakku, duduklah bersama para ulamak serta dekatilah mereka, sesungguhnya Allah akan menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sepertimana Allah menghidupkan bumi yang gersang dengan air yang diturunkan.

Begitulah hendaknya kita saudaraku,
Antara matlamat yang perlu diletakkan dalam diri adalah untuk terus meningkatkan diri pada setiap masa dalam kehidupan kita. Ini adalah kerana sebagai masyarakat Islam kita inginkan kebaikan dan manfaat. Manfaat buat diri, manfaat buat keluarga dan manfaat buat masyarakat. Dan Baginda Rasulullah s.a.w. menganjurkan kita agar menjadi umat yang paling banyak membawa manfaat. Sepertimana sabda Baginda:

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling membawa manfaat pada manusia lain”

(Hadith Riwayat Imam Al-Baihaqi)

Sebenarnya, nilai cinta pada ilmu pengetahuan serta keinginan untuk memberi sumbangan yang berkesan sudah menjadi identiti masyarakat Islam di Singapura khususnya. Inilah yang perlu kita terus pupuk di dalam jiwa masyarakat dan generasi mendatang.

Sebagai contoh, baru-baru ini di Singapura, seorang wanita yang amat terkesan dengan penderaan yang dialami oleh wanita-wanita lain, lantas tidak hanya berdiam diri. Tetapi dengan semangat untuk memulihkan keadaan dan inginkan kebaikan, beliau meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu sains kemasyarakatan demi untuk membantu wanita-wanita yang didera dan keluarga mereka yang terjejas. Maka dengan ilmu pengetahuan yang mendalam, ia dapat membantu wanita-wanita yang didera dengan lebih berkesan.

Satu contoh lagi di negara kita, bagaimana seorang ibu tiga orang anak yang terus berusaha dan tidak mengaku kalah walaupun menghadapi penyakit yang berat. Demi untuk membantu keluarga dan meningkatkan taraf kehidupan, beliau terus meningkatkan diri dalam bidang refleksologi. Melalui kemahiran ini, beliau dapat membantu dalam menampung keperluan keluarganya.

Inilah antara contoh yang ada dalam masyarakat kita. Melalui contoh ini, ia mengambarkan bahawa sumbangan serta kebaikan dapat memberikan kesan yang lebih mendalam dengan ilmu pengetahuan. Kerana dengan ilmu pengetahuan sahaja, bantuan yang diberikan akan membantu membuka jalan bagi masalah-masalah yang dihadapi.

Saudaraku,
Maka jelas kepada kita sekarang ini, bahawa Islam menganjurkan kita untuk terus menimba ilmu. Tetapi bagaimanakah cara untuk menerapkan dalam diri kita perasaan cinta kepada ilmu? Adakah kita menjadikan pembacaan buku amalan harian kita? Selama ini pernahkah kita ke perpustakaan dan mengajak anak-anak ke sana? Adakah kita giat dalam meneroka dan menimba ilmu baru, menghadiri kuliah-kuliah, seminar dan kursus yang bermanfaat?

Ada beberapa perkara yang mungkin boleh kita amalkan untuk membiasakan dan menguatkan semangat kita untuk terus menimba ilmu:

Pertama: Mencari sebuah topik ataupun bidang ilmu yang baik yang kita benar-benar minat. Kemudian pergilah ke pusat perpustakaan misalnya, dan cari buku-buku yang berkenaan dengan minat kita. Mula membaca dan meneroka lebih mendalam bidang ilmu tersebut. Apabila minat kita semakin bertambah, dan kita mendahagakan pengetahuan yang lebih lagi, carilah kursus-kursus ataupun seminar yang berkaitan dengannya. Carilah pula teman-teman yang mungkin mempunyai minat yang sama, dan mungkin banyak yang akan dapat dikongsi bersama.

Kedua: Dapatkanlah sokongan daripada orang-orang yang teredekat dan tersayang dalam hidup kita. Ini akan lebih mendorong kita untuk tingkatkan usaha. Kerana sokongan dari orang yang rapat dengan kita, merupakan satu motivasi untuk meneruskan perjuangan kita sepanjang hayat.

Ketiga: Sentiasa berdoa kepada Allah swt agar kita diberikan kekuatan, kesihatan dan diterangkan hati untuk mempelajari ilmu baru bagi kebaikan dan manfaat diri, keluarga, dan seluruh masyarakat.

Maka, setelah kita mendengar perlunya kita memberi sumbangan dan membawa manfaat yang lebih berkesan dan bermakna, dan kita memerlukan ilmu pengetahuan, dari mimbar ini saya menyeru, bagi para pelajar di semua peringkat persekolahan, ayuh belajar bersungguh-sungguh agar mencapai kecemerlangan dalam pelajaran anda. Bagi para ibu-bapa pula, ayuh kita luangkan masa, walaupun hanya satu jam dalam seminggu, untuk kita membaca buku, hadiri kuliah-kuliah di masjid, ataupun mengambil kursus dalam apa jua bidang untuk membina kemahiran diri kita.

Semoga dengan kita mendalami sesuatu ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan cinta pada ilmu pengatahuan, kita dapat membangunkan sebuah masyarakat yang bukan hanya memberikan sumbangan yang seadanya sahaja, tetapi sumbangan yang kita curahkan ini akan mampu merubah serta mencorak kehidupan yang penuh dengan kebaikan dan kesejahteraan Amin Ya Rabbal ‘Aalamin.


Read More...